Kombinasi Solat Tarawih, Puasa Alternatif Amalan Hidup Sihat
Oleh Badli Shah Alauddin
Aktiviti fizikal sederhana berkesan
kurangkan lemak terkumpul, lambatkan proses penuaan
KAJIAN mengenai hikmah berpuasa sudah banyak dibuat bukan saja sarjana
Islam bahkan pengkaji Barat seperti garapan Steve Meyerowits dalam buku
Fasting and Eating for Health, Richard Schult dalam Juice Fasting, the
Power of Healing dan Phyllis Balch dalam Prescription for Nutritional
Healing.
Semuanya secara tuntas membuktikan kebaikan amalan berpuasa. Selain itu,
kajian mengenai kebaikan amalan bersahur juga mula dibuktikan secara
ilmiah. Contohnya, kajian semasa menunjukkan makanan paling utama dalam
masa 24 jam adalah sarapan.
BBC News bertarikh 7 Mac 2003 melaporkan,
bersarapan pagi adalah penting
bagi memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada
waktu lain. Kajian Dr Mark Pereira dan rakannya dari Pusat Perubatan
Harvard mendapati,
mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi
menjadi gemuk, mendapat sakit jantung dan menghidap penyakit kencing
manis.
Kajian sama juga menunjukkan, mereka yang sentiasa bersarapan pagi
menanggung
risiko 50 peratus lebih rendah diserang masalah kesihatan
yang berkaitan dengan lebihan kadar gula dalam darah berbanding mereka
yang jarang bersarapan pagi.
Kajian Dr Theresa Nieklas dari Kolej Perubatan Baylor dan rakannya
terhadap 700 pelajar dari Louisiana seperti dilaporkan Kerry Neville
dari Chicago Tribune pada 24 September 2001 menunjukkan, mereka yang
tidak bersarapan pagi menanggung risiko dua kali ganda mengalami
kekurangan zat besi dalam darah dan ini menyebabkan penyakit anemia
(penyakit berkaitan kekurangan hemoglobin dalam darah).
Kini, perkembangan teknologi dan ilmu menyebabkan saintis bukan saja
berjaya membuat lebih banyak kajian berkaitan manfaat puasa dan sahur,
bahkan terhadap amalan tarawih yang lazim dilakukan setiap malam
Ramadan.
Ketika berpuasa Ramadan, umat Islam digalakkan menunaikan ibadat solat
tarawih secara berjemaah di masjid. Solat tarawih ditunaikan sama ada
lapan atau 20 rakaat setiap malam sebenarnya adalah suatu aktiviti
fizikal sederhana.
Secara saintifiknya, kesan aktiviti fizikal sederhana dan berpuasa
terhadap komposisi badan boleh dinilai dengan menggunakan teknik
bioimpedans (BIA). Kajian sekumpulan penyelidik Jabatan Kejuruteraan
Bioperubatan Universiti Malaya, mendapati ada beberapa kesan positif
terhadap kesihatan seseorang yang bersolat tarawih.
Kajian selama 20 hari dilakukan kepada 18 peserta lelaki yang sihat
tubuh badan berumur antara 19 hingga 21 tahun, dimulakan pada 30 Syaaban
(Pengukuran Analisis Bioimpedans awal) dan berakhir pada 20 Ramadan
(pengukuran BIA akhir).
Kajian yang dilaporkan dalam buku berjudul Solat: Kebaikan dari
Perspektif Sains itu dijalankan berdasarkan standard dan saranan
Persatuan Pemakanan Malaysia (PPM). Menurut PPM, untuk memastikan
kesihatan berada pada tahap optimum, seseorang itu bukan hanya perlu
melakukan senaman, juga menjaga pemakanan (diet).
Pergerakan fizikal dalam solat tarawih didapati meningkatkan aktiviti
otot badan selari peningkatan kadar metabolisme basal (BMR) daripada
nilai purata 1,455 kal kepada 1,486 kal. Juga didapati penurunan nilai
jisim lemak badan (FM) sebanyak 21 peratus.
Keadaan ini sebenarnya setara aktiviti senaman aerobik sederhana dan
amalan pemakanan seimbang yang boleh mengurangkan lemak badan. Penurunan
nilai jisim lemak itu menunjukkan solat tarawih dan berpuasa adalah
kombinasi yang boleh menghasilkan kesan sama seperti senaman aerobik
sederhana dengan amalan diet seimbang.
Maka, jelas di sini solat tarawih sebenarnya berkesan untuk mengurangkan
lemak yang berkumpul dalam badan. Apabila gumpalan lemak dalam badan
berkurangan, tisu otot baru akan mula meningkat dan memenuhi ruang.
Hasilnya, melambatkan proses penuaan dan kekenduran tisu.
Selain itu,
solat tarawih mengurangkan nilai glukosa. Lazimnya
pergerakan solat tarawih kira-kira 140 minit dalam satu sesi menurunkan
kadar glukos dalam badan dengan nyata, keadaan ini sama dengan keputusan
jika senaman tahap sederhana dilakukan melebihi 150 minit seminggu.
Kesan nilai komposisi badan yang lain ialah pertambahan jisim badan
tanpa lemak seperti komponen sel dan tisu yang tiada lipid (lemak)
termasuklah air, tulang dan tisu penghubung, menunjukkan tahap kesihatan
lebih baik.
Dengan peningkatan BMR, pembakaran lemak dalam badan turut meningkat.
Natijahnya, kandungan lemak dalam badan semakin berkurangan dan secara
tidak langsung mengurangkan mendakan lemak dalam salur darah membolehkan
kekenyalan salur darah meningkat.
Bagi sesetengah individu yang sentiasa mengeluh kerana tidak berdaya
berjemaah terlalu lama semasa solat tarawih, kajian Dr Yusof Abbas
menerusi bukunya Bio-Mekanik Solat sewajarnya dijadikan renungan.
Menurut beliau,
kedudukan yang sempurna ketika solat seperti amalan
regangan otot dan tendon secara betul ketika mengangkat takbir,
meletakkan tangan di dada, ketika rukuk, sujud, duduk antara dua sujud
akan memberi kesan positif kepada kesihatan.
Semua regangan yang betul ini jika dilakukan dalam tempoh lama akan
meningkatkan aliran darah selain aktiviti �kembang kuncup� otot pada
bahagian yang terbabit. Ketika sujud, sebenarnya sudah berlaku regangan
otot bahu, lengan, belakang badan, punggung, pelvik, peha dan betis.
Malah, akan b
erlaku juga regangan otot di sekeliling anus dan otot
sekeliling pangkal kemaluan lelaki serta otot uterus wanita. Dengan kata
lain, ada persamaan regangan otot ketika senaman �batin� yang biasa
diamalkan seperti senaman harimau atau teknik tertentu dalam gerakan
yoga.
Banyak kajian jelas membuktikan solat tarawih dan berpuasa memberikan
manfaat dari sudut kesihatan. Selain itu, kajian juga menunjukkan
kombinasi solat tarawih dan berpuasa dari sudut kesihatan tubuh badan
adalah bersamaan dengan senaman dan diet. Oleh itu, kombinasi ibadat
solat tarawih dan berpuasa boleh menjadi alternatif dalam mengamalkan
gaya hidup sihat serta boleh diamalkan bagi individu yang ingin
menguruskan badan.
Penulis ialah Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam
Pahang, kini meneruskan pengajian peringkat Sarjana Sains di Universiti
Malaysia Terengganu.
Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih
1952 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa
berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan
rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila
email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada
untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal
Mukmin ini. Insyallah.
info lanjut portal Mukmin:http://www.mukmin.com.my/baca.php?id=1508&kategori=12